SEJARAH PENUBUHAN SEKOLAH PERTUKANGAN PERANTIS ANGKATAN TENTERA (SPPAT) DAN SEKOLAH PERTUKANGAN PERANTIS TENTERA DARAT (SSPTD)
Melalui perancangan asal penubuhan Sekolah Pertukangan Perantis Angkatan Tentera (SPPAT), ia telah ditubuhkan dengan matlamat untuk memberi peluang kepada pemuda Malaysia yang berumur dari 14½ hingga 16 tahun dengan kelulusan LCE untuk menjalani kursus dalam bidang akademik, teknikal dan ketenteraan selama 3 tahun. Mereka juga akan menduduki peperiksaan Senior Cambridge atau GCE pada penghujung latihan mereka di sekolah ini. Mereka yang menamatkan latihan adalah juga layak untuk berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia sama ada di dalam perkhidmatan TenteraDarat terutamanya di dalam Kor JLJ, Tentera Laut atau Tentera Udara. Mereka juga akan diberi keutamaan bagi pemilihan Pegawai Kerja Woksyop di dalam Kor JLJ.
Hasil dari perbincangan demi perbincangan yang telah dibuat di peringkat atasan, akhirnya sekolah ini telah ditubuhkan pada 1 Apr 1968 sebagai salah satu cawangan latihan di Sekolah JLJ dan kemudian dirasmikan penubuhannya oleh Jen Tan Sri Abdul Hamid bin Bidin, Ketua Turus Tentera Darat pada 9 Nov 1968. Namun begitu melalui Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera Ke-108 yang bersidang pada 5 Dis 1968 memutuskan bahawa sekolah ini adalah sebuah sekolah teknik tentera, dengan kelayakan masuk adalah Sijil Rendah Pelajaran (Penghantar Bahasa Melayu) dengan kepujian dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Ilmu Hisab dan satu matapelajaran sains. Majlis ini turut menetapkan tujuan penubuhan sekolah ini adalah untuk memberi latihan tentera, teknik dan akademik selama tiga tahun bagi menyesuaikan para perantis sebagai anggota-anggota petukang di dalam Angkatan Tentera. Walaupun sekolah ini berada di bawah pentadbiran Sekolah JLJ, ia dikelola oleh Lembaga Tentera Bersama yang bertanggungjawab terus kepada Jawatankuasa Kerja Majlis Angkatan Tentera. Majlis Angkatan Tentera turut menetapkan bahawa para perantis adalah dibenarkan untuk berhenti dengan membayar balik sebahagian daripada belanja latihan mereka di sekolah ini.


Namun begitu, pengambilan Perantis Kategori B ini hanya dibuat dua kali iaitu sehingga tahun 1982. Selepas itu, latihan perantis diubah lagi di mana bermula dari pengambilan ke 15, para perantis telah dibenarkan menduduki peperiksaan SPM sepertimana biasa. Sekolah ini terus berada di Kem Sirusa sehingga tahun 1982 (sewaktu perantis pengambilan 14 dan 15 sedang menjalani latihan) di mana ia telah berpindah ke Kem Segenting, Batu 10, Port Dickson untuk menampung jumlah perantis yang semakin meningkat. Namun begitu semua aspek pentadbiran dan pemerintahan kekal di bawah Sekolah JLJ.

Pada masa kini, latihan penuntut-penuntut SPPTD dilaksanakan mengikut fasa iaitu fasa pertama selama 20 bulan dalam bidang akademik untuk menduduki peperiksaan SPMV. Fasa kedua pula selama empat bulan di mana mereka dilatih dalam bidang ketenteraan asas merangkumi silibus perajurit muda. Mereka yang menamatkan latihan di SPPTD akan memiliki kelulusan SPMV dan juga SKM yang juga setaraf dengan tred-tred di dalam Kor JLJ Diraja serta menjadi anggota tentera yang terlatih.Walaupun mereka mempunyai kelayakan di dalam bidang vokasional, kerjaya mereka bukan hanya tertumpu untuk menjadi sebagai seorang Juruteknik sahaja malah ramai di kalangan mereka telah berjaya mengikuti latihan pegawai kadet di Maktab Tentera Diraja (MTD), Kolej Tentera Darat (KTD) serta Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan telah berjaya ditauliahkan sebagai pegawai di dalam TD berdasarkan kepada daya usaha serta bakat kepimpinan yang mereka tunjukkan.
PENCAPAIAN DAN KECEMERLANGAN
SEKOLAH BESTARI
SPPTD turut terlibat dalam projek Sekolah Bestari di bawah tajaan Kementerian Pertahanan. Pada 4 Jul 2001, YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Hj Abdul Razak, Menteri Pertahanan telah merasmikan SPPTD dan MTD sebagai Sekolah Bestari di bawah Kementerian Pertahanan yang mana ia merupakan pelengkap kepada aplikasi perdana Sekolah Bestari di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. Konsep yang dilaksanakan adalah mirip kepada Sekolah Bestari Perdana dan lebih menekankan kepada subjek teknikal serta sains dan teknologi. Projek ini dilaksanakan dengan kerjasama British Aerospace Engineering (BAE) dari United Kingdom. Pelaksanaan Projek Sekolah Bestari di SPPTD bermula pada 6 Apr 2004 dengan jumlah kos RM 1,008,008.09. Peruntukan ini adalah bagi membaiki serta mengubahsuai dan menaiktaraf bangunan sedia ada (Markas SPPTD) serta membina dan menyiapkan satu tingkat bangunan Makmal CAD/CAM di SPPTD. Dengan penglibatan sebagai Sekolah Bestari, SPPTD telah mempunyai aset pendidikan teknologi dan ICT. SPPTD kini mengorak langkah untuk bersaing dalam temasya F1 in Schools dan mensasarkan untuk muncul johan peringkat tertinggi.